MENDIDIK ANAK BANGSA YANG TERCINTA TANGGUNGJAWAB UNTUK NEGARA

Isnin, 7 Disember 2009

KEHIDUPAN SAYA SEBAGAI SEORANG GURU KINI

       Alhamdulillah lamanya tidak menulis catatan pada blog ini. hati kerinduan untuk menulis catatan pada blog ini. Waima catatan sebelum ini kebanyakan adalah mengambil bahan teks luar dari catatan sebenar namun hati ini tergerak untuk memperbaharui sesi catatan pada masa akan datang.

       InsyaAllah catatan akan datang akan dimanfaatkan dengan catatan saya sebagai guru dengan lebih bermakna lagi. Bukan untuk menjadi bahan kenangan semata-mata bahkan juga menjadi rujukan atau kritikan yang lebih bermakna.

       Saya berminat untuk berkongsi pengalaman saya dalam dunia pendidikan selama tujuh tahun di mana sekarang ini saya mengajar di Sekolah Kebangsaan kangka Tebrau. Merupakan rumah saya yang ketiga selepas rumah kediaman dan masjid/surau. Pengalaman saya di sekolah sebagai guru sandaran dan juga seorang pelatih guru yang menyambung pelajaran di institusi perguruan sememangnya mencatatkan kehidupan saya sebagai seorang guru yang akhirnya mendapat segulung diploma dalam bidang kerjaya saya kini.

      Sudah tentu ada pancaroba dan juga ingatan yang sukar dilupakan sebagai pendidik di tanah air sendiri. Berbakti pada bumi sendiri adalah impian saya dan semua rakan-rakan di luar sana. akan tetapi blog yang saya wujudkan bukan bertujuan lain selain memperkatakan dan menyampaian aktiviti-aktiviti saya di sekolah saya. Tiada niat lain dan adanya blog ini sebenarnya membantu saya merancakkan lagi dunia pendidikan dalam intenet yang kini mendominasi pemikiran anak-anak bangsa kita kini.

     Bukanlah sekadar laman hiasan semata-mata tapi saya yakin akan datang anak-anak murid saya pasti akan berkongsi cerita suka duka mereka selepas menamatkan pengajian mereka sama ada di peringkat selepas sekolah atau institut pengajian. Saya berasa bangga dengan anak-anak murid yang telah belajar di sekolah tempat mereka menimba ilmu bersama saya.

   InsyaAllah catatan yang wadah kenangan saya ini akan terus berada di muka halaman ini....



Cikgu Mohd Hasrizal bin Yusuf@ Cikgu Hasrizal

Selasa, 22 September 2009

AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI


Bertakbir pada 1 Syawal merupakan amalan yang disyariatkan sehinggalah ke akhir Syawal. Takbir Aidilfitri bermula terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.Sunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri, bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

Memahami Satu Malaysia


Sebagai guru juga saya harus menekan konsep satu Malaysia kepada anak-anak didik saya untuk mereka memahami apakah yang dimaksudkan dengan satu Malaysia. Pengertian cukup bermakna dan memberi satu jaminan dalam bentuk perpaduan yang akan berkekalan hingga ke generasi akan datang. Layari laman Perdana Menteri yang kita cintai untuk memahami inspirasi beliau di dalam menekan aspek yang hangat diperkatakan :

Ahad, 20 September 2009

Contohi SKKT Bantu Murid Susah

SHAFI Manan (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada murid kurang upaya, Mohd. Khoikal Shahari pada majlis sumbangan kepada 110 murid miskin di SKKT Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 18 Sept. - Usaha murni Sekolah Kebangsaan Kangkar Tebrau (SKKT) di sini harus dijadikan contoh dan diberi pujian kerana menubuhkan Tabung Amal Aidilfitri bagi membantu murid-murid daripada keluarga miskin dan anak yatim.

Setelah berjaya mengumpul sumbangan daripada guru, kakitangan serta ibu bapa dan murid-murid, SKKT berjaya memperoleh dana berjumlah RM12,525.

SKKT baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada 110 murid miskin termasuk 21 anak yatim bagi membantu mereka menyambut Aidilfitri tahun ini.

Penerima diberi sepasang baju raya dan duit raya bagi menceriakan sambutan 1 Syawal nanti.
Bantuan kepada murid-murid berkenaan disampaikan oleh Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKKT, Shafi Manan di dewan sekolah berkenaan. Turut hadir Guru Besar SKKT, Harun Abdullah dan Guru Penolong Kanan 1 SKKT, Nurul Ain Hussein.

Shafi berkata, majlis tersebut diadakan dengan kerjasama PBIG SKKT untuk membantu murid-murid daripada keluarga miskin serta anak yatim.

Program itu juga diharap dapat memupuk semangat prihatin dan saling membantu di kalangan murid-murid sekolah berkenaan pada masa akan datang, katanya.
Alhamdulillah saya berasa bangga dengan rakan-rakan sekolah yang telah banyak menyumbangkan dana Aidilfitri (khasnya kepada anak-anak yatim dan yang kurang berkemampuan) kepada anak-anak didik kita yang tercinta terutamanya Guru Besar yang dikasihi Tuan Haji Harun bin Abdullah yang banyak memberi tumpuan dalam usaha murni yang telah dilaksanakan sebelum hari raya. Ucapan terima kepada semua Jawatankuasa PIBG Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau yang banyak menyumbang tenaga, wang, dan masa dalam usaha murni ini. Tahniah kepada semua warga Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau. - Cikgu Mohd Hasrizal bin Yusuf

Kelembutan di sebalik ketegasan

Pada suatu ketika tertentu suasana pembelajaran menjadi agak tegang kerana kedengaran suara guru yang tegas menegur pelajar-pelajarnya yang tidak membuat tugasan seperti yang diarahkan. Pelajar-pelajar pula mempunyai berbagai-bagai perasaan seperti marah, malu, geram dan sedih atas peristiwa yang menimpa pada diri mereka. Ada juga pelajar yang berasa lega kerana kelakuan rakan-rakannya yang buruk itu akhirnnya diketahui dan diambil tindakan oleh guru.

Bagi pelajar-pelajar yang menerima teguran sudah tentu berasa marah malah ada yang berdendam di hati sehinggkan sanggup melakukan perkara yang tidak diingini ke atas guru tersebut. Sebenarnya teguran dan ketegasan yang ada pada guru itu merupakan tanggungjawab yang ikhlas yang harus dipikul dan dilaksanakan demi kasih sayang mereka terhadap pelajar-pelajar.

Dalam hal ini ketegasan yang ditunjukkan oleh guru merupakan satu tindakan untuk memberi gambaran seperti berikut kepada pelajar-pelajar.

• Melahirkan rasa keprihatinan: Setiap guru menganggapkan para pelajar itu sebagai anak-anak mereka sendiri. Sebagai ibu atau bapa kepada anak-anak yang disayangi, mereka akan sentiasa peka terhadap perkembangan mereka baik dari segi keselamatan, kelakuan ataupun prestasi pembelajaran. Oleh itu sebarang teguran atau larangan adalah bertujuan murni untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar bukan kerana membenci mereka sepertimana yang difikirkan oleh segelintir pelajar.

• Menyelamatkan pelajar daripada kecundang: Semua guru inginkan pelajar-pelajarnya berjaya. Guru akan sentiasa runsing selagi keputusan peperiksaan pelajar-pelajarnya belum diumumkan. Guru juga orang yang paling gembira apabila pelajar-pelajarnya mencapai kejayaan. Oleh itu segala teguran dan luahan rasa yang ditujukan kepada pelajar ialah bertujuan untuk menyelamatkan pelajar-pelajar daripada terjebak dalam kancah kehidupan yang berakhir dengan kemusnahan.

• Pencabar dan pembakar semangat: Setiap teguran dan nasihat guru harus diteliti secara positif. Anggapkan kata-kata teguran itu sebagai satu cabaran yang harus dihadapi dengan tenang dan bijaksana. Begitu juga dengan nasihat yang diberikan itu perlulah dianggapkan sebagai kata-kata pembakar semangat yang menyemarakkan jiwa dan perasaan pelajar bukannya untuk menimbul kemarahan.

Setelah mengerti tujuan sebenarnya teguran yang diberikan oleh guru kepada pelajar-pelajar, maka segala sifat ketegasan yang dilihat pada zahirnya sebenarnya ada kelembutan di jiwa mereka. Oleh itu wajarlah pelajar-pelajar menghargai segala jasa guru dengan cara menghormati mereka, tidak menyakiti hati mereka serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan yang bakal diraikan bersama oleh guru.

Sumber utama: http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2009&dt=0515&pub=DuniaPendidikan&sec=Kaunseling&pg=ka_01.htm

Guru Cemerlang

"Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Guru Cemerlang juga sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan.” - Buku Terma Rujukan konsep Guru Cemerlang

Pengetua, Penolong Pengetua, Guru Besar dan Pegawai Pendidikan.

Jawatan-jawatan yang dinyatakan tadi merupakan antara jawatan yang tertinggi dalam bidang perguruan. Kenaikan pangkat dalam bidang perguruan cenderung untuk menjauhkan guru daripada melibatkan diri dalam pengajaran di bilik darjah.

Secara tidak langsung, bidang perguruan kehilangan guru-guru yang pakar dan berdedikasi dalam bidang masing-masing apabila mereka dinaikkan pangkat.

Menyedari hakikat tersebut, kenaikan pangkat Guru Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 sebagai peluang kenaikan pangkat yang lebih baik bagi guru gemilang yang tidak meninggalkan bilik darjah.

Objektif kenaikan pangkat Guru Cemerlang :

1. Memberi pengiktirafan kepada guru yang cemerlang dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing.

2. Meningkatkan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P).

3. Menjadikan Guru Cemerlang role model kepada guru lain.

4. Meningkatkan motivasi guru.

5. Meningkatkan kecemerlangan sekolah dengan berkongsi pengalaman dan kemahiran Guru Cemerlang.

6. Memperluaskan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan pelajaran.

7. Membolehkan guru dinaikkan pangkat tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar atau bertukar ke jawatan pentadbiran.

8. Menyediakan peluang untuk guru naik pangkat ke gred yang lebih tinggi secara laluan laju (fast track), khas Untuk Penyandang (KUP).

Inilah adalah impian saya, InsyaAllah sekiranya saya telah disahkan perkhidmatan bukan sahaja menjalankan tanggungjawab hakiki sebagai seorang pendidik bahkan juga perlu meningkatkan prestasi mutu kerja saya dalam perkhidmatan pendidikan, justeru saya sentiasa mengingatkan diri ini agar menambahbaik mutu perkhidmatan dan menjadi bakal pengawai perkhidmatan yang cemerlang dalam membantu kerajaan menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan bertaraf dunia. Teman-teman doakan kejayaan saya dan jangan lupa sentiasa memberi nasihat dan teguran sekiranya saya ada kekurangan yang perlu diperbaiki.- Mohd Hasrizal bin Yusuf

Jumaat, 18 September 2009

DOAKAN KEJAYAAN MURID TAHUN 6


Walaupun telah berlalu peperiksaan UPSR, cikgu doakan semua murid-murid tahun 6(2009) di seluruh negara terutamanya murid Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau dapat mencapai kejayaan yang cemerlang. Doa dan minta restu ibu dan ayah. Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang terbaik bagi kita meminta maaf kepada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan sanak saudara. Mudah-mudahan mereka merestui kita, Amin...